Kisah Benar : Pengalaman Saya Menyertai UMNO

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman saya dan rakan-rakan untuk menyertai UMNO dan menubuhkan Pergerakan Pemuda peringkat cawangan.  Saya tidak pasti sama ada anda juga pernah mengalami perkara yang sama akan tetapi mungkin pengalaman saya dan rakan-rakan ini memberikan gambaran yang agak jelas tentang UMNO hari ini yang pernah dikatakan oleh mantan Perdana Menteri,  Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai “sudah lumpuh”.  Tujuan saya bukan untuk memburukkan lagi UMNO akan tetapi sebagai penyuntik semangat kesedaran bahawa betapa UMNO hari ini perlulah segera diubah untuk terus relevan kepada bangsa melayu terutamanya kepada generasi muda.

Sebenarnya saya dan rakan-rakan mula berminat untuk menyertai UMNO hanya selepas PRU 12 yang lepas yang menyaksikan negeri kami telah dikuasai oleh DAP(baca Malaysian Malaysia) walaupun MB negeri kami ini dilantik daripada Parti PAS yang pada pandangan kami hanyalah sebagai boneka DAP.  Satu kesedaran yang tinggi telah timbul di hati kami bahawa bangsa melayu akan hancur jika DAP diberi peluang memerintah negara tambahan pula terdapat golongan melayu seperti PAS dan segelintir melayu PKR yang sanggup menjadi tali barut DAP dalam memperjuangkan prinsip Malaysian Malaysia di mana segala hak keistimewaan melayu di dalam perlembagaan akan dihapuskan.  Saya dan rakan-rakan merupakan golongan muda yang hampir kesemuanya lepasan ijazah universiti dan kini menjawat pelbagai jawatan di dalam sektor awam dan juga swasta.

Oleh itu,  pada satu tarikh yang telah ditetapkan,  kami berjumpa dengan Ketua Cawangan di tempat kami untuk menyatakan hasrat menyertai UMNO dan seterusnya menubuhkan Pergerakan Pemuda memandangkan di cawangan kami itu belum lagi terdapat sayap Pergerakan Pemuda.  Bagi kami,  itu adalah satu kesempatan yang baik bagi kami kerana pada hemat kami,  ini adalah masa yang sesuai untuk kami berkhidmat untuk penduduk setempat melalui UMNO memandangkan kami adalah penduduk asal di tempat tersebut.  Kemudiannya Ketua Cawangan dengan besar hati menerima penyertaan kami dan kemudiannya menganjurkan mesyuarat untuk merasmikan Jawatankuasa Penaja Pergerakan Pemuda UMNO peringkat cawangan itu.

Akan tetapi,  selang beberapa hari kemudian,  Ketua Cawangan telah menghubungi kami membawa satu berita buruk.  Rupa-rupanya penubuhan Jawatankuasa Penaja Pergerakan Pemuda cawangan kami itu tidak dipersetujui oleh Timbalan Ketua Cawangan kerana beliau berpendapat penubuhan jawatankuasa itu adalah hanya sebagai strategi Ketua Cawangan kami itu untuk mendapatkan sokongan untuk terus kekal menjadi Ketua Cawangan UMNO pada pemilihan parti akan datang.  Bukan itu sahaja,  Timbalan Ketua Cawangan kami itu telah menganjurkan satu lagi mesyuarat berasingan untuk menubuhkan satu lagi Jawantkuasa Penaja Pemuda,  yang mana telah dirasmikan oleh AJK Pemuda Bahagian.  Yang menyedihkan,  Jawatankuasa Penaja Pemuda yang baru ini tidak dianggotai oleh penduduk asal tempat kami.  Kebanyakkan mereka ini dipanggil dari tempat-tempat lain untuk mencukupkan kuota jawatankuasa pemuda.  Disebabkan perhubungan yang baik Timbalan Ketua Cawangan ini dengan AJK Pemuda Bahagian tersebut,  Jawatankuasa Penaja Pemuda yang baru ini “diiktiraf” dan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh saya dan rakan-rakan bersama-sama Ketua Cawangan tempoh hari dikatakan tidak sah!

Saya difahamkan bahawa Timbalan Ketua Cawangan tersebut bercita-cita untuk bertanding merebut kerusi Ketua Cawangan untuk memudahkannya pergi lebih jauh di peringkat bahagian.  Oleh itu,  beliau memerlukan satu kumpulan pemuda untuk menyokongnya menjadi Ketua Cawangan dan kemudiannya akan berkempen untuknya mendapatkan jawatan di peringkat bahagian pula.  Tambah mendukacitakan,  sehingga hari ini saya dan rakan-rakan masih lagi belum mendapat nombor keahlian dan terdapat juga cerita-certia bahawa peringkat bahagian tidak memanjangkan permohonan keahlian kami kerana takut pada bayang-bayang sendiri yang kononnya,  kami ini selaku golongan muda yang berpelajaran, akan melawan kedudukan mereka satu hari nanti.

Pengalaman ini membuatkan saya dan rakan-rakan tersentak.  Maka tidak hairanlah UMNO telah “diajar” oleh rakyat pada pilihanraya yang lepas.  UMNO hari ini dipenuhi oleh “virus” yang amat bahaya yang mampu merosakkan parti dari dalam.  Dengan sikap golongan seperti ini,  telah menyebabkan ramai golongan muda terutama golongan muda profesional meluat dengan UMNO dan beralih kepada parti pembangkang kerana di sana suara mereka akan lebih didengari berbanding di dalam UMNO yang penuh dengan strategi dan niat-niat songsang sesetengah golongan.

Golongan-golongan “perosak” ini harus segera dihapuskan sebelum UMNO benar-benar menjadi tidak relevan kepada golongan muda.  Golongan muda harus diberikan keutamaan kerana merekalah yang bakal diharapkan meneruskan perjuangan parti.  Tindakan yang hanya mementingkan kepentingan diri amatlah merugikan parti pada jangka masa panjang.  UMNO perlu terus menjadi parti yang benar-benar memperjuangkan nasib orang melayu dan juga mempertahankan perlembagaan.   Tidak ada gunanya jika hari ini kita memegang jawatan yang tinggi di dalam parti akan tetapi pada masa yang sama UMNO dicemuh dan dinista oleh generasi pelapis yang mana akan menyebabkan survival UMNO akan terjejas dan memungkinkan UMNO akan menjadi sejarah kerana kegelojohan generasi hari ini yang hanya tamakkan kuasa dan pangkat.

Cerita saya ini telah beberapa bulan berlalu akan tetapi saya berasakan saya perlu berkongsi cerita sebegini untuk menyedarkan kita semua.  Namun begitu,  saya masih percaya kepada asas perjuangan UMNO untuk memperjuangkan hak-hak orang melayu,  cuma menjadi tanggungjawab kita untuk mengubah mentaliti UMNO hari ini dari dalam.

Advertisements
Explore posts in the same categories: Umum

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: