UNISEL : Khalid makin menjadi-jadi!

Posted June 28, 2008 by umnomuda
Categories: Umum

gambar dari mykmu.net

Hari ini telah menyaksikan Naib Canselor Universiti Industri Selangor (UNISEL), Prof. Dato’ Dr Razali Agus telah dipecat daripada tugasnya. Nampaknya, Prof. Dato’ Dr Razali Agus telah menjadi mangsa terbaru kerakusan politik biadap PKR di Selangor yang diketuai oleh Khalid Ibrahim.

Janji-janji PKR untuk melaksanakan dasar pentadbiran yang bersih dan telus tanpa mengira fahaman politik nampaknya hanya tinggal kenangan. Dengar khabar, banyak lagi pegawai-pegawai utama kerajaan negeri bakal dinyahkan daripada kerusi mereka selepas ini.

Alasan yang digunakan untuk memecat Prof. Dato’ Razali, kononnya beliau tidak menunjukkan prestasi cemerlang di dalam perkhidmatannya selama 11 bulan itu. Untuk pengetahuan semua, Prof. Dato’ Dr. Razali Agus merupakan bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya, sebelum dilantik menjadi Naib Canselor UNISEL tahun lepas.

Menurut sumber-sumber terdekat dari UNISEL sendiri, mereka sebenarnya pelik dengan alasan yang digunakan untuk memecat Prof. Dato’ Dr. Razali. Ini kerana, walaupun baru 11 bulan beliau berkhidmat dengan UNISEL, namun jumlah pelajar di UNISEL hari ini sudah mencecah sebanyak 15,000 orang, termasuk pelajar-pelajar dari luar negara, berbanding hanya sekitar 7,500 orang sahaja sebelum ini. Kutipan kasar UNISEL juga telah mencecah puluhan juta ringgit. Jadi, atas dasar apakah kerajaan negeri mendakwa Prof. Dato’ Dr Razali tidak cemerlang?

Khalid dan PKR seharusnya berterus-terang bahawa mereka sebenarnya ingin meletakkan orang-orang mereka sendiri untuk mengepalai UNISEL. UNISEL yang merupakan universiti milik kerajaan negeri mempunyai potensi yang besar dalam menjanakan kewangan negeri. Jadi tidak hairanlah selepas ini jika kita dengar, kantung kewangan UNISEL akan mengalir ke akaun PKR seperti isu syarikat swasta di Selangor baru-baru ini.

Agak malang, kerana institusi ilmu seperti UNISEL juga telah dipolitikkan oleh PKR. Tidak perlulah berbuat demikian kerana institusi ilmu seharusnya bebas daripada pengaruh politik. Dulu mereka juga yang teruk menghentam kerajaan BN kerana kononnya mengamalkan dasar kronisme, tapi sekarang ini nampaknya siapa yang benar-benar mengamalkan dasar kronisme? Hinggakan pentadbiran universiti juga hendak diganggu dengan matlamat politik mereka.

Satu lagi episod kebodohan PKR dalam kerajaan negeri Selangor sudah bermula. Ini sepatutnya membuka mata pengundi PKR di Selangor, yang sebenarnya, insan seperti Khalid dan Anwar ini lebih teruk daripada BN. Orang Selangor hanya dapat menikmati air percuma sebanyak RM 11.00 akan tetapi onar yang dilakukan oleh PKR adalah lebih daripada itu. Agaknya, tidak cukup lagi keuntungan daripada projek mega babi yang hendak mereka sapu, hinggakan universiti pun hendak diganggu juga. Jangan lupa, UNISEL ditubuhkan atas idea kerajaan negeri yang lama. Senang benar mereka hendak merompak hasilnya.

Selepas ini saya tertanya-tanya, apakah lagi onar yang bakal dibawa oleh Khalid dan PKR di Selangor? Sama-sama kita saksikan. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

DAP makin kurang ajar, Melayu PAS dan PKR makin dayus!

Posted June 23, 2008 by umnomuda
Categories: Umum

Peristiwa di Johor baru-baru ini yang menyaksikan Adun DAP, enggan memakai songkok ketika menghadiri majlis pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, menunjukkan kedangkalan dan kebodohan Adun DAP terbabit. Kononnya menjaga prinsip. Prinsip apa? Bagi saya, prinsip beliau tidak lain daripada tidak memperakui ketuanan Sultan Johor dan juga tidak memperakui bahawa beliau perlu menghormati Sultan sebagai ketua agama Islam dan ketua negeri yang berbangsa Melayu.

Saya tertunggu-tunggu juga kecaman dari pihak PAS dan juga “melayu liberal” PKR untuk mengecam perbuatan Adun DAP biadap ini. Dulu, sewaktu penyokong Dato’ Seri Idris Jusoh di Terengganu mengangkat sepanduk “Natang”, walaupun tidak pasti kepada siapa sepanduk itu diangkat, ianya menjadi isu utama di dalam akhbar PAS, Harakah. Teruk UMNO dikecam. Kononnya sepanduk itu diangkat pleh penyokong UMNO untuk menghina Sultan sedangkan mengikut cerita, sepanduk itu diangkat kepada “anak-anak murid” Hadi Awang yang menjadi “panel” pemilihan MB Terengganu ketika itu. Saya pun tidak pasti mengenai kebenaran cerita tersebut, tapi itulah yang saya dengar.

Akan tetapi, apabila terang-terangan DAP menghina Sultan dengan tunjuk keras kepala, enggan melakukan perkara mudah seperti memakai songkok itu, nampaknya PAS dan PKR masih lagi membisu. Saya juga pasti selepas ini, PAS dan PKR akan keluarkan cerita baru untuk membela tindakan Adun DAP itu dan selepas itu, penyokong-penyokong taksub mereka akan mengangguk tanda kelegaan.

Saya ingin bertanya kepada PAS yang selama ini melaung-laungkan akan melaksanakan hukum hudud di negara ini. Mereka selama ini mengecam UMNO, kononnya UMNO menolak hukum Islam di dalam pentadbirannya. Kata mereka, hukum hudud patut dilaksanakan di Malaysia kerana Malaysia adalah negara Islam. Tapi, apabila mereka membentuk pakatan dengan DAP, apakah PAS fikir DAP akan menerima hukum hudud tajaan mereka jika mereka berupaya memerintah negara kelak? Logiknya, jika pakai songkok pun DAP tidak mahu, apatah lagi nak terima hukum hudud?

Pelik bila lihat perjuangan PAS hari ini. Sanggup bersekongkol dengan DAP yang bencikan melayu dan Islam. Sanggup melihat bangsa sendiri yang seagama dihina sebegitu rupa. Hina sangatkah pakaian orang melayu yang bersongkok hinggakan adun DAP ini tidak mahu memakainya? Entahlah..kepada penyokong PAS, sedarlah sebelum terlambat….

Macam-macam mencurigakan tentang Khalid Ibrahim!

Posted June 23, 2008 by umnomuda
Categories: Umum

Sumber : www.mykmu.net

Dalam suatu sidang akhbar bertarikh Jun 11hb, 2008, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata laporan polis yang dilakukan oleh empat ahli pKR terhadap pembantunya tidak betul.

Dia mengatakan siasatan awal pihak BPR menunjukkan tidak ada apa-apa kesalahan dan pegawai tersebut akan dihantar kekursus. Kenapa pula dihantar kursus jika tidak ada apa-apa? Macam mana dia boleh tahu sedangkan BPR belum selesai siasatan?

Rupanya hari ini Jun 23hb, 2008, keluar laporan di The Star menyatakan pegawai tersebut digantung dua bulan kerana sedang disiasat mengenai pemberian kontrak pembersihan dan pengambilan sisa sampah di Petaling Jaya.

Dia dikatakan akan diambil kembali jika siasatan tidak menunjukkan apa-apa kesalahan. Masaalahnya kini mengapa pula Khalid mengatakan siasatan awal tidak menunjukkan apa-apa kesalahan? Bukankah itu pembohongan?

Jika benar Yahya Saari, pegawai tersebut benar sedang di siasat, kenapa pula ada aktivis akar umbi Reformasi, Nora kini terlibat bersama Yahya menuntut pengunduran Khalid?

Pasti ada perkara yang lebih besar dari itu. Mengikut rasmi orang korporat, mereka akan memberhentikan seseorang walaupun cara pemberhentian itu salah, demi menutup kesalahan masing-masing.

Khalid pernah lakukan sedemikian dengan seorang Pengurus Melayu di Guthrie. Selepas diberhentikan, Khalid menggunakan pengaruhnya untuk menghalang Pengurus tersebut mendapat kerja dan mencari nafkah di Kuala Lumpur. Malah, hati Khalid begitu jahat hingga menalipon majikan yang menerima Pengurus tersebut supaya diberhentikannya. Akhirnya Pengurus sekeluarga tersebut terpaksa berhijrah ke New Zealand.

Jika Yahya buat perkara itu dan hanya sedang dicutikan untuk siasatan, kenapa pula dia memberontak? Kenapa dia mahu menuntut pemecatan Khalid pula?

Di dalam tulisan Nora di blognya, dia mempersoalkan pembabitan ahli-ahli korporat yang kini seolah-olah meraut keuntungan dari kejayaan PKR dan mengenepikan pejuang-pejuanga asal Reformasi.

Adakah mungkin kebenaran disebalik kata-kata bahawa Khalid kini mempunyai hubungan urusniaga rahsia dengan Dato Lim Kim Hong? Ini dinafikan oleh Khalid. Adakah akhirnya akan menjadi betul juga?

Kalau dahulu mereka menuduh macam-macam terhadap pentadbiran UMNO dan menuntut pengunduran, kini mereka sesama mereka sendiri sudah mendedahkan sesuatu tidak kena degan pentadbiran Khalid itu sendiri.

Adakah mereka berani mengkota apa yang dikata? Isu ini baru bermula dan kita lihat episod-episod seterusnya.

SAPP : Pembelot Atau Hero?

Posted June 21, 2008 by umnomuda
Categories: Umum

Setelah saya mendapat berita yang SAPP dari Sabah mengisytiharkan secara terbuka pendirian mereka yang telah hilang keyakinan kepada Perdana Menteri,  saya sebenarnya telah menjangka tidak balas daripada Pak Lah dan kroni-kroninya untuk mempertahankan diri(periuk nasi). Mereka ini langsung tidak sedar dan terlintas untuk bermuhasabah untuk melakukan perubahan yang diminta oleh rakyat akan tetapi seakan-akan pekak badak dan buta tuli.  Bagi mereka suara rakyat yang inginkan perubahan kepada pimpinan tertinggi negara adalah tidak lebih daripada suara-suara sumbang yang tidak perlu dipedulikan.

Maka hari ini(19/6/2008),  terpampanglah di muka depan Berita Harian yang mencerca Dato’ Yong Teck Lee dan dituduh pula sebagai PEMBELOT.  Tuduhan sebagai PEMBELOT ini dijadikan tajuk utama akhbar dan isi kandungan akhbar Berita Harian hari ini juga memuatkan lebih kurang dua muka surat memburukkan peribadi Dato’ Yong Teck Lee. 

Seperti biasa,  Pak Lah menggunakan strategi yang sama kepada penentangnya,  iaitu mengungkit segala kesalahan dan kekotoran peribadi penentangnya itu.  Taktik ini juga boleh kita lihat digunakan juga kepada Tun Dr Mahathir semasa beliau mendesak perkara yang sama,  iaitu menyuruh Pak Lah meletakkan jawatan dengan segera.  Kisah 20 tahun lampau juga diungkit kembali.  Saya tertanya-tanya,  siapakah penasihat Pak Lah yang “bijak pandai” yang mencadangkan taktik keji sebegitu rupa untuk menangkis serangan penentangnya?

Adakah apabila akhbar memburuk-burukkan peribadi penentang Pak Lah,  rakyat akan dapat melupakan segala kepincangan dan kelemahan Pak Lah sebagai Perdana Menteri?  Adakah rakyat akan turut sama membenci penentang Pak Lah apabila kisah peribadi individu tersebut ditelanjangkan?  Di dalam kes Dato’ Yong Teck Lee,  akhbar telah berusaha keras untuk menggambarkan imej Dato’ Yong Teck Lee sebagai pembelot dan pengkhianat besar.

Pak Lah telah lupa sebenarnya rakyat amat meluat terhadap kepimpinan beliau sekarang ini.  Sesiapa sahaja yang berani menentang Pak Lah secara terbuka akan dianggap sebagai hero tidak kiralah berapa banyak sekalipun cercaan, hinaan dan herdikan kroni Pak Lah terhadap individu itu.  Penentang Pak Lah secara terbuka,  terutamanya dari dalam BN sendiri, amat dialu-alukan ketika ini.  Ahli-ahli akar umbi UMNO dan BN lebih berminat menyelamatkan parti dan negara daripada menyelamatkan karier politik Pak Lah.

Di saat ahli-ahli UMNO dan BN seperti Dato Mukhriz,  Dato Yong dan ahli-ahli akar umbi mengkritik hebat kredibiliti Pak Lah sebagai PM,  pemimpin-pemimpin pembangkang pula sibuk mempertahankan Pak Lah.  Lihat sahajalah komen-komen “positif” pemimpin pembangkang sejak akhir-akhir ini yang turut dimuatkan di dalam akhbar-akhbar arus perdana.  Pak Lah telus…Pak Lah lebih terbuka…dan bermacam-macam lagi pujian mereka.  Mengapa mereka begitu sukakan Pak Lah,  sedangkan pada zaman Tun Dr Mahathir dulu,  mereka ini begitu hebat menghina Tun Dr Mahathir,  hinggakan seperti tiada sekelumit pun kebaikan yang Tun Dr Mahathir bawa kepada negara?

Pak Lah memang telah dipekakkan telinga,  ditutup mata,  dan dibekukan otaknya akibat pujian orang sekelilingnya.  Oleh itu,  saya memberikan setinggi-tinggi penghormatan kepada individu-individu seperti Dato’ Mukhriz dan Dato’ Yong Teck Lee kerana walaupun mereka ini sedar kedudukan mereka bakal terjejas,  tetapi mereka sanggup menongkah arus mewakili suara akar umbi. 

Bagi kebanyakan ahli akar umbi,  mereka ini bukan pembelot tetapi hero yang mewakili suara mereka.  Bagi kami,  pembelot yang sebenar adalah Pak Lah sendiri yang telah menyebabkan suasana politik dan ekonomi negara kita kucar-kacir dan huru-hara.  Perkara sebegini akan menguntungkan pembangkang dan kemungkinan besar kita akan dapat melihat Anwar Ibrahim menjadi PM tidak lama lagi akibat sikap Pak Lah dan kroni yang sudah pekak dan buta.  Jika Anwar menjadi PM nanti,  orang-orang melayu akan mengenang Pak Lah sebagai insan yang bertanggungjawab menggadaikan hak bangsa melayu kepada Anwar dan PKR yang kini memperjuangkan Malaysian Malaysia(ketuanan rakyat).  Orang melayu mungkin hanya akan dapat menikmati harga minyak yang murah tetapi habis hak tergadai.  Selepas itu,  orang-orang melayu akan sedar juga siapakah pembelot yang sebenarnya.

Peralihan Kuasa : Pak Lah Patut Bincang Dengan Ahli, Bukan Najib Seorang!

Posted June 17, 2008 by umnomuda
Categories: Umum

Pak Lah sekali lagi bermain sandiwara apabila setelah mengumumkan perancangannya untuk peralihan kuasa,  pada masa yang sama mahu mempertahankan jawatan Presiden UMNO tahun ini.  Nampaknya perbincangan peralihan kuasa ini hanya dilakukan oleh Pak Lah dan Najib.  Najib juga telah memberikan kata dua bahawa beliau tidak akan mencabar Pak Lah di dalam pemilihan agung UMNO nanti.

Jika benar telahan Tun Dr Mahathir yang Pak Lah akan menang tanpa bertanding Disember ini,  maka kempunanlah sebahagian besar rakyat Malaysia terutamanya ahli akar umbi UMNO yang mahukan perubahan setelah kemerosotan teruk UMNO dan BN di dalam pilihanraya yang lepas.  Saya tertanya-tanya apakah perbincangan mengenai peralihan kuasa ini hanya layak dibincangkan oleh Presiden dan Timbalan Presiden sahaja? Di kala kedudukan negara dan bangsa melayu yang kian terumbang-ambing hari ini,  pemimpin atasan masih lagi berfikir tentang kepentingan politik diri sendiri.  Najib memperkatakan soal “tradisi” akan tetapi beliau telah lupa bahawa banyak “tradisi” lama yang sudah tidak relevan lagi hari ini.  “Tradisi” lapuk sudah lama dibuang dan digantikan dengan wawasan.

Saya cabar MT UMNO sekarang ini turun padang untuk melakukan pungutan suara di kalangan akar umbi untuk menentukan siapa Presiden UMNO.  UMNO milik semua bangsa melayu,  bukan milik Pak Lah dan Najib sahaja!  Siapa mereka untuk membuat keputusan sendiri?  Bangsat sangatkah ahli akar umbi hingga tidak perlu ditanyakan pendapat?

UMNO perlu bergerak seiring dengan arus kemahuan rakyat supaya menjadikan parti terus relevan.  UMNO jangan jadi buta tuli dan pekak badak.  Ini bkan masanya untuk menjaga periuk nasi sendiri.  Ekonomi negara kelam kabut di bawah Pak Lah.  Sanggupkah kita berdiam diri?  Apakah yang kita hendak jawab kepada generasi akan datang sekiranya mereka bertanya,  mengapa hidup mereka tidak sesenang hidup kita dahulu?  Tidak ada lagikah perasaan tanggungjawab di dalam diri pemimpin UMNO?

Lihat sajalah Shahrizat.  Beria-ria sokong Pak Lah mempertahankan jawatan Presiden.  Iyalah…siapalah akan menjadi derhaka sekiranya telah ditatang,  hinggakan dilantik sebagai “Penasihat” bertaraf menteri,  walaupun kalah pilihanraya.  Shahrizat jangan lupa,  Pak Lah merupakan antara faktor kekalahannya di dalam pilihanraya umum yang lepas.  Shahrizat kalah kerana kelemahan Pak Lah sendiri yang tidak mampu menjalankan tugasnya sebagai Presiden UMNO dengan baik. 

Apa yang hendak dikatakan.  Saya amat berharap agar Tengku Razaleigh akan dapat mencabar Pak Lah pada pemilihan Disember ini.  Saya menyeru bahagian-bahagian UMNO yang sayangkan parti dan juga bangsa mencalonkan Tengku Razaleigh sebagai Presiden UMNO.  Nampaknya hanya Tengku Razaleigh saja yang berani.  Pemimpin lain semua jaga periuk nasi dan hanya mementingkan survival politik sendiri sahaja!

Kisah Benar : Pengalaman Saya Menyertai UMNO

Posted June 16, 2008 by umnomuda
Categories: Umum

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman saya dan rakan-rakan untuk menyertai UMNO dan menubuhkan Pergerakan Pemuda peringkat cawangan.  Saya tidak pasti sama ada anda juga pernah mengalami perkara yang sama akan tetapi mungkin pengalaman saya dan rakan-rakan ini memberikan gambaran yang agak jelas tentang UMNO hari ini yang pernah dikatakan oleh mantan Perdana Menteri,  Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai “sudah lumpuh”.  Tujuan saya bukan untuk memburukkan lagi UMNO akan tetapi sebagai penyuntik semangat kesedaran bahawa betapa UMNO hari ini perlulah segera diubah untuk terus relevan kepada bangsa melayu terutamanya kepada generasi muda.

Sebenarnya saya dan rakan-rakan mula berminat untuk menyertai UMNO hanya selepas PRU 12 yang lepas yang menyaksikan negeri kami telah dikuasai oleh DAP(baca Malaysian Malaysia) walaupun MB negeri kami ini dilantik daripada Parti PAS yang pada pandangan kami hanyalah sebagai boneka DAP.  Satu kesedaran yang tinggi telah timbul di hati kami bahawa bangsa melayu akan hancur jika DAP diberi peluang memerintah negara tambahan pula terdapat golongan melayu seperti PAS dan segelintir melayu PKR yang sanggup menjadi tali barut DAP dalam memperjuangkan prinsip Malaysian Malaysia di mana segala hak keistimewaan melayu di dalam perlembagaan akan dihapuskan.  Saya dan rakan-rakan merupakan golongan muda yang hampir kesemuanya lepasan ijazah universiti dan kini menjawat pelbagai jawatan di dalam sektor awam dan juga swasta.

Oleh itu,  pada satu tarikh yang telah ditetapkan,  kami berjumpa dengan Ketua Cawangan di tempat kami untuk menyatakan hasrat menyertai UMNO dan seterusnya menubuhkan Pergerakan Pemuda memandangkan di cawangan kami itu belum lagi terdapat sayap Pergerakan Pemuda.  Bagi kami,  itu adalah satu kesempatan yang baik bagi kami kerana pada hemat kami,  ini adalah masa yang sesuai untuk kami berkhidmat untuk penduduk setempat melalui UMNO memandangkan kami adalah penduduk asal di tempat tersebut.  Kemudiannya Ketua Cawangan dengan besar hati menerima penyertaan kami dan kemudiannya menganjurkan mesyuarat untuk merasmikan Jawatankuasa Penaja Pergerakan Pemuda UMNO peringkat cawangan itu.

Akan tetapi,  selang beberapa hari kemudian,  Ketua Cawangan telah menghubungi kami membawa satu berita buruk.  Rupa-rupanya penubuhan Jawatankuasa Penaja Pergerakan Pemuda cawangan kami itu tidak dipersetujui oleh Timbalan Ketua Cawangan kerana beliau berpendapat penubuhan jawatankuasa itu adalah hanya sebagai strategi Ketua Cawangan kami itu untuk mendapatkan sokongan untuk terus kekal menjadi Ketua Cawangan UMNO pada pemilihan parti akan datang.  Bukan itu sahaja,  Timbalan Ketua Cawangan kami itu telah menganjurkan satu lagi mesyuarat berasingan untuk menubuhkan satu lagi Jawantkuasa Penaja Pemuda,  yang mana telah dirasmikan oleh AJK Pemuda Bahagian.  Yang menyedihkan,  Jawatankuasa Penaja Pemuda yang baru ini tidak dianggotai oleh penduduk asal tempat kami.  Kebanyakkan mereka ini dipanggil dari tempat-tempat lain untuk mencukupkan kuota jawatankuasa pemuda.  Disebabkan perhubungan yang baik Timbalan Ketua Cawangan ini dengan AJK Pemuda Bahagian tersebut,  Jawatankuasa Penaja Pemuda yang baru ini “diiktiraf” dan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh saya dan rakan-rakan bersama-sama Ketua Cawangan tempoh hari dikatakan tidak sah!

Saya difahamkan bahawa Timbalan Ketua Cawangan tersebut bercita-cita untuk bertanding merebut kerusi Ketua Cawangan untuk memudahkannya pergi lebih jauh di peringkat bahagian.  Oleh itu,  beliau memerlukan satu kumpulan pemuda untuk menyokongnya menjadi Ketua Cawangan dan kemudiannya akan berkempen untuknya mendapatkan jawatan di peringkat bahagian pula.  Tambah mendukacitakan,  sehingga hari ini saya dan rakan-rakan masih lagi belum mendapat nombor keahlian dan terdapat juga cerita-certia bahawa peringkat bahagian tidak memanjangkan permohonan keahlian kami kerana takut pada bayang-bayang sendiri yang kononnya,  kami ini selaku golongan muda yang berpelajaran, akan melawan kedudukan mereka satu hari nanti.

Pengalaman ini membuatkan saya dan rakan-rakan tersentak.  Maka tidak hairanlah UMNO telah “diajar” oleh rakyat pada pilihanraya yang lepas.  UMNO hari ini dipenuhi oleh “virus” yang amat bahaya yang mampu merosakkan parti dari dalam.  Dengan sikap golongan seperti ini,  telah menyebabkan ramai golongan muda terutama golongan muda profesional meluat dengan UMNO dan beralih kepada parti pembangkang kerana di sana suara mereka akan lebih didengari berbanding di dalam UMNO yang penuh dengan strategi dan niat-niat songsang sesetengah golongan.

Golongan-golongan “perosak” ini harus segera dihapuskan sebelum UMNO benar-benar menjadi tidak relevan kepada golongan muda.  Golongan muda harus diberikan keutamaan kerana merekalah yang bakal diharapkan meneruskan perjuangan parti.  Tindakan yang hanya mementingkan kepentingan diri amatlah merugikan parti pada jangka masa panjang.  UMNO perlu terus menjadi parti yang benar-benar memperjuangkan nasib orang melayu dan juga mempertahankan perlembagaan.   Tidak ada gunanya jika hari ini kita memegang jawatan yang tinggi di dalam parti akan tetapi pada masa yang sama UMNO dicemuh dan dinista oleh generasi pelapis yang mana akan menyebabkan survival UMNO akan terjejas dan memungkinkan UMNO akan menjadi sejarah kerana kegelojohan generasi hari ini yang hanya tamakkan kuasa dan pangkat.

Cerita saya ini telah beberapa bulan berlalu akan tetapi saya berasakan saya perlu berkongsi cerita sebegini untuk menyedarkan kita semua.  Namun begitu,  saya masih percaya kepada asas perjuangan UMNO untuk memperjuangkan hak-hak orang melayu,  cuma menjadi tanggungjawab kita untuk mengubah mentaliti UMNO hari ini dari dalam.

Malaysia Bakal Jadi Seperti Filipina?

Posted June 13, 2008 by umnomuda
Categories: Umum

Saya ingin berkongsi perbualan saya bersama dengan rakan-rakan saya yang berasal dari Filipina.  Sememangnya di industri yang saya bekerja hari ini dikelilingi oleh pekerja profesional dari Filipina.  Mereka ini bagus-bagus belaka.  Ramai yang bijak-bijak dan berkebolehan.  Oleh itu selalu jugalah saya ambil peluang untuk bersembang tentang hal-hal semasa di samping hal-hal kerja.

Satu hari,  saya berbual dengan salah seorang daripada mereka.  Saya tanya mengapa mereka ini datang bekerja di sini? Sedangkan mereka ini bijak dan berkebolehan,  tidak teringinkah mereka menabur bakti di negara sendiri?  Lalu,  sahabat saya ini pun bercerita tentang keadaan negaranya.

Menurutnya,  keadaan di Filipina  15-20 tahun dahulu lebih kurang sama dengan Malaysia hari ini.  Rakyatnya hidup aman dan mewah.  Namun,  semasa negara mereka kaya,  pemimpin mereka ketika itu menjadi leka dan gagal menjana ekonomi negara mereka dengan baik dan akhirnya ekonomi menjadi kucar-kacir.  Rakyat mereka menjadi mangsa di mana kos kehidupan menjadi semakin tinggi dan mereka tidak mampu untuk meneruskan hidup di sana di samping sukar mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka.  Oleh itu,  sudah menjadi lumrah rakyat di sana terutama yang berpendidikan tinggi keluar negara mencari rezeki kerana sudah tidak ada pilihan lain.

Di Filipina juga katanya,  kejadian jenayah semakin teruk.  Ini kerana rakyat semakin terdesak.  Beliau sendiri pernah melihat orang ditikam menggunakan pencucuk ais.  Mentaliti rakyat di sana juga semakin berubah.  Pendidikan bukan lagi motif utama sebaliknya lebih mengutamakan soal bagaimana hendak meneruskan kehidupan.  Yang miskin terus miskin dan yang kaya semakin kaya.  Kerajaan gagal untuk membantu golongan-golongan miskin dan polisi kerajaannnya juga kelam kabut dan huru-hara.  Keputusan “flip-flop” kerajaan menjadi perkara biasa.

Menurut sahabat saya itu lagi,  beliau melihat situasi Malaysia hari ini sudah mula menampakkan tanda-tanda untuk menjadi seperti negara Filipina.  Saya bertanya kepadanya,  mengapa beliau berkata begitu?  Beliau menjawab,  keadaan kerajaan Malaysia hari ini yang seperti hilang punca dan gagal menangani beberapa isu penting terutama ekonomi memungkinkan perkara itu terjadi.  Menurutnya,  kerajaan Malaysia sekarang ini harus menggunakan kekayaan yang ada untuk terus mengembangkan ekonomi supaya tidak susah di kemudian hari.  Dia juga turut memuji tindakan kerajaan Malaysia sebelum ini yang tidak mengambil bantuan IMF pada tahun 1998 dulu.  Di Filipina,  sehingga hari ini kerajaannya masih gagal menjelaskan hutang mereka kepada IMF.

Selepas daripada perbualan tersebut,  saya termenung sendirian.  Apakah benar Malaysia akan menjadi seperti Filipina satu hari nanti?  Benarkah tanda-tanda itu sudah ada?  Melihatkan kepada kepimpinan hari ini rasanya tidak mustahil.  Terus terang,  saya sendiri sudah tidak berapa berbangga menjadi rakyat Malaysia seperti yang selalu saya banggakan 10 tahun lalu.  Adakah anak-anak saya nanti bakal menjadi seperti rakyat Filipina hari ini,  terpaksa mencari rezeki di negara luar?  Seram jika memikirkan perkara ini.  Ya Allah,  sejahterakanlah Malaysia!

Bila Kerajaan Pak Lah Suruh Berjimat

Posted June 10, 2008 by umnomuda
Categories: Uncategorized

Saya bukanlah ahli ekonomi mahupun pernah mengambil subjek berkaitan ekonomi untuk memperkatakan soal ini.  Akan tetapi apa yang saya utarakan adalah berdasarkan sebagai seorang rakyat biasa yang mampu berfikir secara logik dan mempunyai daya pemerhatian terhadap suasana di sekeliling.

Apabila Pak Lah asyik melaungkan meminta rakyat berjimat,  secara mendalamnya saya telah terfikir berapa banyakkah perniagaan yang berpotensi menjadi lingkup sekiranya rakyat kita benar-benar menyahut seruan Pak Lah untuk berjimat.  Cuba kita bayangkan satu situasi mudah;

Seorang ibu tunggal menyara anak-anaknya dengan menjual kuih dan nasi lemak.  Biasanya orang yang membeli kuih-muih dan nasi lemak tersebut adalah daripada orang sekelilingnya,  dan biasanya pendapatan makcik ini mampu mencecah sehingga RM500-600 sebulan.  Bayangkanlah sekiranya pelanggan-pelanggan tetap makcik ini benar-benar menyahut seruan Pak Lah untuk berjimat dan tidak lagi membeli kuih-muih makcik tersebut,  apa pula akan terjadi kepada perniagaan makcik itu yang telah menjadi sumber ekonomi keluarganya?  Sudah tentu makcik itu akan tutup kedai dan terpaksa pula menanggung kerugian akibat tiadanya kuasa membeli orang-orang sekelilingnya.

Itu adalah satu contoh mudah yang mampu saya utarakan.  Belum lagi dikira perniagaan-perniagaan besar lain yang mempunyai ribuan pekerja seperti pasaraya yang bergantung kepada kuasa membeli rakyat.  Adakah berjimat cermat jalan terbaik untuk menyelamatkan ekonomi negara?  Rantaian ekonomi akan terjejas dan lumpuh sekiranya rakyat benar-benar mengambil langkah terlampau berjimat cermat.

Apa yang saya nampak,  kerjaaan Pak Lah hari ini hanya tahu untuk mengekalkan kewangan yang ada sahaja tetapi gagal untuk menambah dan mengembangkan kewangan negara.  Bagi saya,  untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi domestik,  rakyat perlulah digalakkan supaya berbelanja.  Akan tetapi kerajaan perlulah terlebih dahulu memastikan bahawa rakyat mampu untuk berbelanja.  Ekonomi negara perlu dibangunkan,  pelabur perlulah dibawa masuk dan kawasan-kawasan terpencil harus dimaju dan dibangunkan.  Itulah kegagalan Pak Lah setakat ini.  Malaysia sepatutnya menjadi sebuah negara yang amat pesat membangun,  bukannya negara yang berjimat cermat tanpa asas.

Kenaikan harga minyak dan barang-barang lain dilihat menyukarkan lagi pertumbuhan ekonomi domestik kerana kuasa membeli rakyat akan terjejas.  Keputusan kerajaan untuk menaikkan harga minyak terlampau tinggi dan kemudiannya meminta rakyat untuk berjimat adalah satu keputusan yang tidak bijak.  Kesan daripada konsep “jimat cermat” anjuran Pak Lah ini sememangnya satu pendekatan yang kurang intelek dan bakal merugikan negara satu hari nanti.  Saya tetap berpandangan bahawa kerajaanlah yang seharusnya bertanggungjawab menyelesaikan kesan kenaikan harga minyak global dan bukannya memindahkan beban tersebut kepada rakyat.

Bagaimana caranya? Jangan tanya kepada saya.  Itu adalah tanggungjawab Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet yang dipertanggungjawab memikirkannya setelah menerima gaji puluhan ribu ringgit setiap bulan.  Pada hemat saya,  menteri-menterilah yang sepatutnya terbeban dengan kesan iklim ekonomi dunia dan sepatutnya mencari penyelesaian terbaik untuk negara dan bukannya rakyat pula yang dibebankan.  Rakyat ingin melihat fungsi yang lebih efektif yang patut dijalankan oleh Perdana Menteri dan anggota kabinetnya.  Jika tidak mampu,  turun sajalah.

Pak Lah dan Mahathir : Satu Perbandingan

Posted June 9, 2008 by umnomuda
Categories: Umum

Artikel ini saya terima daripada seorang rakan melalui emel :-

Selepas dua tahun mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mula mengkririk kerajaan pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dari pelbagai aspek. Kritikan tajam Mahathir mencetuskan pelbagai reaksi.

1. Semasa Jadi TPM

Mahathir
Sudah merancang apa yang akan dilakukannya apabila menjadi Perdana Menteri nanti. Ideanya banyak tetapi tidak dilakukannya semasa menjadi TPM, sebagai menghormati bosnya.

Abdullah
Disebabkan terlalu berhati-hati setelah melihat kegagalan Musa, Ghafar dan Anwar ketika mereka menjadi TPM, Pak Lah menjadi begitu low profile sehingga tidak ada apa-apa idea langsung dan menimbulkan keraguan ramai mengenai keupayaannya mengambilalih pucuk pimpinan nanti.

2. Sejurus Selepas Jadi PM

Mahathir
Terus melaksanakan idea-ideanya yang tersimpan lama itu, seperti menyeragamkan waktu bagi seluruh Malaysia, memperkenalkan kad perakam waktu, Malaysia Incorporated, Dasar Pandang Ke Timur, Kepimpinan Melalui Teladan dan sebagainya.

Abdullah
Disebabkan ketiadaan idea semasa menjadi TPM lagi maka Pak Lah tidak dapat melaksanakan apa-apa lag , yang ada hanya slogan-slogan retorik seperti Cemerlang,Gemilang, Terbilang yang mencetuskan tafsiran-tafsiran rambang dan umum.

3. Pembangunan Islam

Mahathir
Di awal penerajuannya, Mahathir memperkenalkan ‘Penerapan Nilai-Nilai Islam’ yang disambut baik tanpa bangkangan dan kontroversi. Dia tidak cuba menampilkan dirinya sebagai seorang Islam waraq atau berpura-pura dengan menjadi Imam atau membaca doa. Baginya dia adalah seorang fundalmentalist.  Namun Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa adalah merupakan cetusan ideanya yang kemudiannya diakui Anwar sebagai idea-ideanya sendiri.

Abdullah
Pak Lah tiba-tiba berani memperkenalkan IIslam Hadhari’ yang amat kontroversi dan itupun datang dari penasihat agamanya. Tidak cukup dengan itu, Pak Lah sering menjadi imam sembahyang berjemaah yang gambarnya dipamerkan di muka depan akhbar-akhbar utama. Potretnya yang sedang mengaminkan doa juga menghiasi dinding-dinding pejabat. (Jangan lupa Anwar juga sering menjadi imam sembahyang apabila baru-baru berpindah kementerian dan menjadi TPM!). Potretnya yang sedang mengaminkan doa juga menghiasi dinding-dinding pejabat.

4. Menghadapi Aduan

Mahathir
Mahathir biasannya mendengar aduan dari orang-orang politik atau perniagaan yang menemuinya dengan tenang dan tanpa sebarang emosi atau komen. Biasanya juga dia akan minta bukti yang lebih lengkap. Tidak berapa lama lepas itu, pengadu dapat tahu isu atau aduan berkenaan telah diberi perhatian dan tindakan diambil oleh pihak berkenaan.

Abdullah
Pak Lah akan mendengar aduan seseorang dengan penuh teruja dan merangsang si pengadu. Beliau sering memberi komen, “Macam mana boleh jadi macam ni? Mengapa tak bagi tau Pak Lah lebih awal? Ini kita tak boleh biar” dan sebagainya. Si pengadu seronok dan merasai masalah berkenaan telah separuh selesai. Namun bila ia pulang isu tersebut jadi terperap dan tidak ada sebarang tindakan yang diambil Pak Lah. Dia hanya melaku satu political public relations. Itu sahaja.

5. Menghadapi Cadangan Perniagaan

Mahathir
Meneliti cadangan atau proposal perniagaan. Dia akan menggariskan segala fakta-fakta penting dan menandakan mukasurat-mukasurat yang berkaitan. Dalam masa paling lewatnya seminggu kertas cadangan tersebut akan turun ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) di JPM. Sekiranya EPU mengatakan ‘Cadangan ini baik, tetapi kerajaan tidak mempunyai wang untuk melaksanakannya’ , Mahathir mengarahkan EPU untuk ‘cari wang’. Dengan itu pegawai-pegawai di EPU akan bergegas membuat perkiraan dan congak bagi mempastikan wang diperolehi dari pelbagai saluran kewangan kerajaan. Mahathir mahu cadangan itu dilaksanakan bagi menjana kegiatan ekonomi seperti yang lazim dilakukannya.

Abdullah
Ramai yang tidak tahu apa Pak Lah buat dengan cadangan-cadangan yang dihantar kepadanya. Kalaupun diturunkannya kepada EPU dan EPU jawab ‘Cadangan ini baik, tetapi kerajaan tidak mempunyai wang untuk melaksanakannya’ . Pak Lah akan jawab balik, ‘Tak ada wang tak payah buat’.Maka cadangan berkenaan akan mati terus di situ. Pegawai EPU tidak perlu lagi pening kepala untuk usaha mencari wang kerana PM mereka juga tidak mahu pening-pening kepala. Keputusan untuk tidak payah buat ini akan bertuah jika dibuat dalam masa sebulan atau dua bulan. Tetapi apa yang berlaku ialah ia mengambil masa berbulan-bulan malah dalam banyak keadaan kertas cadangan itu entah hilang kemana, bak kata pepatah Inggeris, Gone with the wind.

6. Pengurusan Waktu

Mahathir
Mahathir dikenali sebagai seorang yang dispilin dengan waktu. Beliau selalu tiba di pejabatnya selewat-lewatnya 7.45 pagi setiap hari. Dia tak pernah lewat menghadiri mesyuarat yang dipengerusinya. Kalau dia terlewat 10 minit pun dia akan memohon maaf. Tetamu-tetamu yang buat temujanji dengannya tidak perlu menunggu berjam-jam. Kalau janji lima belas minit, lima belas minitlah masa yang dibenarkan bertemu dengannya. Maka tetamu-tetamu kemudian tidak perlu duduk berlegar-legar di bilik tetamu atau berlepak di bilik setiausaha-setiausa hanya sementara menunggu giliran.

Abdullah
Pak Lah pula terkenal sebagai seorang yang amat tidak tahu mengurus waktunya dan amat berlawanan dengan Tun dalam hal ini. Lewat sejam atau dua jam dalam mempengerusi mesyuarat kabinet dan post kabinet bukan lagi perkara luar biasa, malah menjadi bahan rungutan dan ketawa ahli cabinet dan pegawai-pegawai kerajaan. Bukan juga luar biasa bagi orang-orang yang membuat temu janji dengannya menunggu sampai 5 hingga 6 jam di pejabatnya!

Masalah ini memberi kesan besar kepada pegawai-pegawai kanan yang mahu berjumpa Pak Lah untuk mendapat keputusannya. Disebabkan kadangkala mereka tidak dapat bertemu dengannya maka mereka terpaksa berbaris menunggunya di mesyuarat post kabinet untuk mendapat keputusan dan tandatangan beliau. Fikirlah apa jenis keputusan yang beliau buat apabila beliau tidak sempat membaca dan meneliti kertas-kertas yang duhulurkan kepadanya secara tergesa-gesa itu.

7. Memenuhi Jemputan Majlis

Mahathir
Apabila menerima sebarang jemputan rasmi atau peribadi, Mahathir akan segera jawab boleh atau tidak boleh hadir. Kalau dia kata boleh, maka dia tetap akan hadir sebagai menunaikan janjinya. Kalau tak boleh, maka awal-awal lagi dimaklumkan pejabatnya bagi menyenangkan penganjur mencari ganti.

Abdullah
Pak Lah sebaliknya, apabila menerima jemputan akan lambat memberi jawapan sehingga menyusahkan pihak penganjur dari segi mencetak buku program, menyusun peraturan protokol dan sebagainya. Dan apabila memaklumkan tidak boleh hadir di saat-saat akhir, penganjur majlis macam nak gila kena cari penggantinya.

Dalam pada itu bukan sekali dua Pak Lah janji untuk hadir, tiba-tiba di saat-saat akhir tidak boleh dan meminta wakil dari kalangan menteri-menterinya hadir. Bayangkan persiapan yang telah dirancang berbulan-bulan bagi meraikan seorang Perdana Menteri. Harapan penganjur berkecai kerana hampa dengan seorang ‘alim?’yang memandang ringan dengan janji-janjinya

8. Membuat Keputusan

Mahathir
Mahathir seperti yang diketahui ramai tegas dalam keputusannya. Sebagai seorang manusia keputusannya mungkin silap, tetapi dia terus juga buat, kerana baginya lebih baik buat keputusan yang silap dari silap kerana tak buat apa-apa keputusan. Namun sebagai seorang doktor, sebelum sebarang keputusan dibuat, beliau akan pastikan segala maklumat atau bukti telah diperolehinya agar keputusan tersebut menjadi sebaik mungkin

Abdullah
Pak Lah nampaknya tidak begitu berani buat keputusan kerana takut silap dan takut tidak popular. Apa-apa keputusan yang mahu dibuatnya dia lebih cenderung untuk mengambil hati pihak-pihak tertentu. Takut buat keputusan dan mengubah-ubah keputusan merupakan satu kelaziman Pak Lah yang diketahui seluruh negara. Contoh klasik ialah keputusan membatalkan projek Jambatan Bengkok. Mula-mula setuju. Malah selepas beberapa jam mengatakan kepada Syarikat Gerbang Perdana, projek ini Pak Lah gerenti akan laksanakan, tiba-tiba diumumkan batal!

9. Menghadapi Wawancara Media

Mahathir
Apabila Mahathir, semasa menjadi PM, diwawancara beliau merupakan favourite penonton. Isi wawancaranya bernas dan penuh maklumat. Seperti kata Inggeris he says what he means and he means what he says. Noktah.

Abdullah
Pak Lah pula bila diwawancara sering menampakkan beliau tidak cukup maklumat dan terpaksa berdolak dalik. Dalam kes ECM Libra mengambilalih Avenue Capital Resource, beliau pernah menjawab ?Saya tidak tahu, saya tak terlibat?. Dalam kes Scomi pula yang melibatkan anaknya, beliau dengan mudah mengatakan Scomi tidak mendapat sebarang projek di dalam negara. Sedangkan ramai yang tahu jenis-jenis projek dalam negara yang diperolehi Scomi. Wawancara terakhir beliau dengan Dato Annuar Zaini boleh dikatakan
menimbul lebih banyak persoalan dari jawapan.

10. Campurtangan ahli keluarga dalam pentadbiran dan politik

Mahathir
Walaupun pernah dikatakan Toh Puan Dr Siti Hasmah mempengaruhi keputusan-keputusan Mahathir, hal ini tidak ketara dan kalau ada pun dalam urusan-urusan kecil sahaja. Manakala anak menantunya boleh dikatakan tidak langsung ambil tahu mengenai hal-hal pentadbiran negara. Pernah diceritakan apabila anak-anak beliau mahu dicalonkan bertanding mana-mana jawatan parti, tidak kira rendah atau tinggi, Mahathir akan menghalangkannya. Dia tidak mahu mereka terlibat semasa dia memegang jawatan Presiden parti.

Abdullah
Campurtangan ahli keluarga Pak Lah amat jelas. Anak menantunya turut serta dalam urusan Pak Lah membuat keputusan. Walaupun letih Pak Lah menafikannya tidak sesiapa yang percaya kerana apa yang dikatakannya lain dari apa yang dialami mereka yang berkenaan. Penyingkiran Tan Sri Isa Samad dari jawatan parti dan kerajaan, jelas dikatakan hasil manipulasi Khairy.

Penutup

Kesemua di atas adalah sebahagian kecil perbandingan yang diketahui penulis mengenai Mahathir dan Pak Lah dari segi pentadbiran dan kepimpinan mereka berdua. Manakala markah diberi mengikut penilaian bebas oleh sekumpulan pemerhati.

Mahathir menunggu lebih dua tahun selepas persaraannya untuk meluahkan perasaan ketidakpuasan hatinya kerana beliau merasai dirinya telah dikhianati, amanatnya tidak diambil hirau oleh penggantinya.

Beliau menunggu dua tahun kerana beliau mahu mengutip sebanyak mungkin bukti. Mahathir tidak akan bercakap kosong. Dari dahulu lagi beliau arah orang cari bukti yang lengkap atas aduan yang mereka buat. Takkanlah beliau sendiri mengkritik kosong tanpa sebarang bukti sekarang ini.

Perbandingan ini bukan bertujuan mahu mencadang diletakkan semula Mahathir ke tempat yang telah diserahkan kepada penggantinya itu. Hanya pandai-pandailah kita menilai kepimpinan yang ada sekarang ini dan tanyalah diri mampukah kepimpinan ini membawa negara ini ke arah kecemerlangan?

Salam Pembukaan

Posted June 9, 2008 by umnomuda
Categories: Umum

Assalamualaikum w.b.t

Disebabkan minat yang mendalam dalam penulisan artikel dan rasa kesedaran di dalam diri saya terhadap apa yang berlaku hari ini terhadap benteng orang-orang melayu iaitu UMNO, saya rasa perlunya saya turut serta di dalam dunia blog hari ini untuk menyampaikan pandangan serta pendapat saya terhadap isu-isu politik tanah air yang ternyata semakin lama semakin merugikan orang-orang melayu sendiri pada hari ini.

Kelemahan pucuk pimpinan UMNO yang diketuai oleh Pak Lah hari ini akan menjadi topik perbincangan utama di dalam blog ini. Ingin saya tegaskan di sini, bahawa saya tidaklah membenci atau tidak sukakan Pak Lah sebagai individu. Beliau adalah seorang yang baik perwatakannya dan juga tenang sekalipun dilanda pelbagai masalah dan kontroversi, namun begitu sebagai Presiden Umno dan juga Perdana Menteri, saya berpendapat beliau bukanlah orang yang sesuai untuk mengepalai negara yang sepatutnya pesat membangun dalam mencapai Wawasan 2020.

Sebelum ini juga saya ada menghantar artikel untuk menjadi tatapan pelayar internet di laman web seperti myKMU dan lain-lain menggunakan nama samaran “UmnoMuda”. Jadi sudilah kiranya anda semua melayari blog ini juga bagi membincangkan hala tuju orang melayu melalui UMNO. Saya juga amat berbesar hati sekiranya saudara-saudari meninggalkan komen di dalam setiap pandangan dan artikel.

Semoga perjuangan UMNO menjadi terus relevan untuk anak bangsa kita. Insyallah.